Sunday 23 November 2014

Biografi Ringkas

Sri Ramakrishna (18 Februari 1836 – 16 Ogos 1886) ialah seorang tokoh agama India kurun ke-19 yang terkenal. Pemikiran dan pengalaman rohani beliau merupakan sumber inspirasi bagi kelahiran pertubuhan rahib yang dikenali sebagai Ramakrishna Math dan Ramakrishna Mission. Beliau juga digelar sebagai Ramakrishna Paramahamsa, Sri Sri Thakur dan Bhagavan Ramakrishna oleh pengikut-pengikutnya.

Nama sebenar Ramakrishna ialah Gadadhar Chattopadhyaya. Beliau berasal daripada sebuah keluarga Brahmin yang miskin dari sebuah perkampungan Bengal. Beliau menjadi seorang sami di kuil Kali Dakshineswar. Ramakrishna telah menjalani disiplin rohani di bawah ajaran Bhairavi Brahmani, seorang fakir wanita yang mahir dalam Tantra dan tradisi Bhakti Vaishnava. Kemudian, beliau juga mempelajari meditasi ke atas Brahman daripada seorang rahib Advaita Vedanta.

  
Kelahiran
Sri Ramakrishna telah dilahirkan pada 18 Februari 1836 di Kamarpukur, sebuah kampung kecil di daerah Hooghly, Bengal Barat yang terletak 112 km dari Calcutta, India. Ibu bapanya, Khudiram Chattopadhyaya dan Chandramani Devi, sangat miskin tetapi beriman lagi baik hati. Nama asal Sri Ramakrishna ialah Gadadhar atau secara singkat, Gadai.

Khudiram berasal dari kampung Derepur di Bengal. Oleh sebab dia enggan untuk memberikan keterangan palsu menurut perintah seorang zamindar (tuan tanah) kampung itu, dia telah kehilangan tanah pusaka dan rumahnya. Dengan bergantung kepada Dewa Raghuvir (salah satu nama Dewa Rama) Khudiram meninggalkan Derepur bersama-sama isterinya dan dua orang anak lelaki, Ramkumar dan Rameswar.

Apabila Khudiram tiba di Kamarpukur, dia disambut dengan mesra oleh kawan lamanya Dharmadas Laha. Dia menerima sebidang tanah yang subur dan sebuah pondok kecil daripada Dharmadas. Penduduk-penduduk Kamarpukur juga menerima keluarga baru ini dengan gembira dan membekalkan mereka dengan segala keperluan untuk hidup yang sederhana tetapi bahagia.
Pengorbanan Khudiram untuk berpegang kepada kebenaran tentu telah menarik perhatian Takdir. Ya, Khudiram inilah yang ditakdirkan untuk menjadi bapa Ramakrishna.Salah satu ajaran Ramakrishna ialah bahawa “Kebenaran adalah tunjang agama dalam Kaliyuga”.


Zaman Kanak-kanak

Tidak lama selepas berpindah ke Kamarpukur, Khudiram melakukan satu lawatan ibadah ke  kuil Vishnu (dikenali sebagai Gadadhara) di Gaya (di Bihar) pada tahun 1835 Masihi. Selepas melakukan upacara pemujaan, dia mendapat satu mimpi yang pelik. Dewa Gadadhar muncul dan berkata bahawa Dia akan lahir sebagai anak Khudiram! Hampir pada masa yang sama, Chandra Devi pula melihat satu cahaya dari kuil Shiva menembusi badannya lalu dia jatuh pengsan. Apabila dia menyedar diri, dia merasakan dirinya hamil. Apabila Khudiram pulang ke rumah, dia mendengar tentang pengalaman Chandra Devi dan berasa yakin bahawa sesuatu kejadian yang pelik akan berlaku. Kejadian ini diikuti dengan perubahan yang luarbiasa pada diri Chandra Devi. Dia mula melihat semua orang termasuk dewa-dewi sebagai anaknya sendiri.


Pada 18 Februari 1836 pada pukul 5.15 pagi, Chandra melahirkan seorang anak lelaki. Mereka menamanya ‘Gadadhar’ kerana sesungguhnya dia ialah penjelmaan semula Dewa Gadadhar-Vishnu. Sejak lahir, Gadadhar menunjukkan ketuhanannya dengan pelbagai kejadian luarbiasa. Semua orang kampung meraikan kelahirannya dan merasakan bahawa dia ialah saudara mereka sendiri.     
     
Pendidikan awal Gadadhar bermula di sebuah sekolah pondok di mana dia mempelajari Bahasa Bengali. Namun, dia enggan untuk meneruskan dengan pendidikan formal yang dipanggilnya sebagai “ilmu untuk mengisi perut”. Sebaliknya, dia menunjukan bakat dan minatnya dalam mengukir patung, lukisan, lakonan drama dan nyanyian lagu-lagu suci. Dia juga berkawan rapat dengan golongan fakir dan rahib yang sering berehat di Kamarpukur, yang menjadi hentian dalam laluan ke kuil Jagannath, Puri. Ramakrishna menguasai kitab-kitab seperti Purana, Ramayana, Mahabharata dan Bhagavata Purana dengan mendengarnya daripada golongan fakir dan penyanyi-penyanyi Kathak (kumpulan yang menyanyikan Purana).

Gadadhar mengalami keghairahan mistik yang pertama ketika berusia enam tahun. Ketika dia sedang berjalan melalui tapak sawah padi sambil mengunyah emping beras, dia terpandang sekawan burung putih berterbang di bawah awan yang gelap. Pandangan itu membuatnya melupakan segala-galanya dan merasakan kegembiraan yang tidak terkata. Kejadian yang serupa berlaku beberapa kali dalam zaman kanak-kanaknya. Sekali, ketika dalam perjalanan ke kuil Dewi Vishalakshi dan semasa dia melakonkan watak Dewa Shiva dalam satu drama.

Pada tahun 1843, bapa Gadadhar meninggal dunia. Abang sulungnya, Ramkumar menjadi ketua keluarga dan penjaganya. Gadadhar yang berusia enam tahun, mula menghabiskan masa bersama-sama ibunya dengan membantu dalam kerja rumah. Dia juga menghiburkan wanita-wanita di kejiranannya dengan membacakan kitab-kitab suci.

Sifat Gadadhar berpegang kepada kebenaran terserlah ketika dia berumur sembilan tahun. Ramkumar dan ibunya sibuk membuat persediaan untuk upacara Upanayana apabila Gadadhar mendedahkan hasratnya untuk meminta sedekah pertama daripada Dhani. Menurut trasidi, seorang Brahmin hanya boleh meminta sedekah semasa upacara Upanayana daripada seorang yang sama kasta dengannya. Namun, Gadadhar telah berjanji kepada Dhani daripad kasta tukang besi. Walaupun dibantah oleh keluarganya, Gadadhar enggan untuk mungkir janji kerana menurutnya kebenaran adalah sifat utama bagi seorang Brahmin.

Pada tahun 1852, Ramkumar membawa Gadadhar yang berusia enam belas tahun ke Calcutta. Gadadhar membantu Ramkumar melakukan upacara pemujaan di rumah-rumah persendirian. Walaupun sedih untuk berpisah dengan ibu dan kampungnya, Gadadhar berasa gembira untuk meringankan beban abangnya.


Kuil Kali, Dakshineswar

Rani Rasmani (A.D.1793-1861), seorang wanita kaya di Janbazar, Calcutta memutuskan untuk melakukan ibadah di Varanasi. Namun, beliau terpaksa membatalkan rancangannya apabila Dewi Kali, Ibu Yang Maha Esa muncul dalam mimpinya dan mengarahkannya untuk membina sebuah kuil untuk-Nya di tebing sungai Ganges. Rani mula membina sebuah kuil yang besar di Dakshineswar. Namun, oleh kerana Rani Rasmani berasal daripada kasta nelayan, sami-sami Brahmin enggan untuk melakukan pemujaan di kuil itu. Rani dalam keadaan terdesak, menghantar utusan kepada ramai pendeta-pendeta untuk meminta nasihat. Semua pendeta, dengan sebulat suara mengatakan bahawa orang Brahmin tidak boleh bekerja di kuil yang dibina oleh orang kasta rendah.

Apabila Ramkumar menerima surat Rani Rasmani, dia menasihatkannya untuk mendaftarkan hakmilik kuil itu di atas nama seorang Brahmin dan Rani bertindak hanya sebagai wakil. Gembira dengan nasihat Ramkumar, Rani mendaftarkan hakmilik kuil itu atas nama gurunya. Kemudian, dia meminta Ramkumar sendiri untuk menjalankan upacara perasmian kuil itu dan seterusnya melantiknya sebagai ketua sami.


Kamar Sri Ramakrishna di Dakshineswar
Pada tahun 1855, selepas kuil Kali di Dakshineswar ini dirasmikan, Ramkumar membawa Gadadhar (selepas ini, dikenali sebagai Ramakrishna) untuk tinggal di kuil itu. Kedua-dua Rani dan Mathurnath Biswas (menantu Rani) mula menyayangi Ramakrishna. Mathurnath teringin untuk melantik Ramakrishna sebagai sami untuk menghiasi Dewi Kali. Ramakrishna mula mengelakannya apabila dia mendapat tahu tentang hasrat Mathur. Sementara itu, Hriday, anak saudara Ramakrishna, datang untuk mencari pekerjaan di Dakshineswar. Dia memujuk Ramakrishna dan berjanji bahawa dia akan menjaga barangan kemas Dewi. Jadi, apabila Mathur meminta Ramakrishna untuk menjadi sami, dia bersetuju. Hriday juga mendapat pekerjaan di kuil itu. Tidak lama kemudian, Ramakrishna mendapatkan mantera Shakti daripada seorang guru dan mempelajari cara-cara pemujaan Shakti.

Sadhana
Setahun kemudian, Ramkumar meninggal dunia secara tiba-tiba. Walaupun terkejut dengan kematian abangnya, Ramakrishna bersetuju untuk mengambil alih tugas abangnya sebagai sami kuil Kali. Pada mulanya, Ramakrishna melakukan upacara pemujaan harian yang teratur mengikut tradisi. Namun, tidak lama kemudian, suatu keinginan menguasai fikirannya. Belia mahu mengetahui sama ada Dewi benar-benar wujud dalam berhala dan menerima pemujaan yang dilakukan.  

Setahun kemudian, Ramkumar meninggal dunia secara tiba-tiba. Walaupun terkejut dengan kematian abangnya, Ramakrishna bersetuju untuk mengambil alih tugas abangnya sebagai sami kuil Kali. Pada mulanya, Ramakrishna melakukan upacara pemujaan harian yang teratur mengikut tradisi. Namun, tidak lama kemudian, suatu keinginan menguasai fikirannya. Belia mahu mengetahui sama ada Dewi benar-benar wujud dalam berhala dan menerima pemujaan yang dilakukan.  

Selama beberapa bulan, Ramakrishna melakukan pelbagai disiplin rohani yang rumit lagi luarbiasa. Setiap hari, kerinduannya untuk melihat Tuhan yang dipanggilnya sebagai ‘Ibu’ makin bertambah. Siang dan malam, hatinya memikirkan ‘Ibu’ sehingga makan, minum dan tidur dilupakannya. Apabila ‘Ibu’ enggan untuk mendengar tangisannya, beliau memutuskan untuk menamatkan hidupnya dengan pedang Kali yang disimpan di kuil. Dengan serta-merta, beliau diberkati dengan pandangan mistik Dewi Kali dan beliau sedar bahawa manusia boleh menyedari kewujudan Tuhan.
Selepas kejadian ini, Sri Ramakrishna mula merasakan kewujudan Tuhan setiap masa. Beliau bukan sahaja melihat Tuhan tetapi juga bercakap dengan-Nya secara intim. Beliau tidak lagi dapat menjalankan upacara sembahyang dan pemujaan secara teratur.


Perkahwinan

Keadaan yang dialami oleh Ramakrishna sesungguhnya sukar dipercayai menyebabkan saudara-maranya khuatir bahawa Ramakrishna telah menjadi tidak siuman.

Oleh itu, bagi menyembuhkan Ramakrishna daripada kegilaannya, Chandra Devi dan abangnya Rameswar mendesaknya untuk kembali ke Kamarpukur. Bagi menenangkan hati ibunya, Ramakrishna mendapatkan rawatan tradisional dan berkelakukan normal. Malah, apabila dia mendapat tahu bahawa keluarganya sedang mencari jodoh untuknya, beliau mencadangakan kepada mereka untuk mencari jodohnya di rumah Ramchandra Mukhyopadhyaya di Jayrambati (sebuah kampung berdekatan Kamarpukur).  Ramchandra mempunyai seorang anak perempuan bernama Sri Sarada Devi.  

Selepas kedua-dua pihak bersetuju, perkahwinan Ramakrishna, yang berumur dua puluh tiga tahun dilangsungkan dengan Sri Sarada Devi yang berumur lima tahun. Selepas perkahwinan ini, Ramakrishna kembali ke Dakshineswar untuk meneruskan kerjanya sebagai sami. Sarada pula kembali ke rumah bapanya di Jayrambati.  

 

Pelbagai Jalan yang Berlainan

Selepas kembali ke Dakshineswar, Ramakrishna sekali lagi memulakan disiplin rohaninya. Walaupun, beliau telahpun menyedari Kebenaran dengan usahanya sendiri, beliau teringin untuk mendapatkan bantuan guru untuk mencapai matlamat yang sama. Peliknya, beliau tidak perlu mencari gurunya di mana-mana. Guru-gurunya sendiri datang kepadanya, seorang demi seorang!
Guru pertama Ramakrishna ialah seorang rahib wanita yang dikenali sebagai Bhairavi Brahmani (nama asalnya ialah Yogeswari).  Sebaik sahaja melihat Ramakrishna, Bhairavi meluahkan hasratnya untuk mengajarnya kerana itu ialah kehendak Ibu Yang Maha Esa. Di bawah tunjuk ajar Bhairavi, Ramakrishna melakukan disiplin Tantra yang rumit dan berjaya. Bhairavi menjadi kagum dengan perkembangan rohani yang telah dicapai oleh Ramakrishna dalam masa yang singkat.

Bhairavi yang arif dalam sastera agama mendapati bahawa tanda-tanda yang dilihatnya pada Ramakrishna hanya pernah berlaku dalam hidup Jelmaan Tuhan seperti Sri Krishna Chaitanya Mahaprabhu dan Srimati Radha. Oleh itu, dia mengisytiharkan bahawa Ramakrishna juga ialah seorang Jelmaan Tuhan atau Avatar!  Dia juga mencabar para pendeta untuk menafikannya dalam satu persidangan.

Mathurnath menjemput ramai golongan pendeta untuk menguji Ramakrishna dan menafikan kenyataan Bhairavi. Pendeta-pendeta yang berpelajaran dalam Veda dan Purana seperti Vaishnavcharan, Gauri Pandit, Padmalochan dan Narayana Shastri datang untuk menguji Ramakrishna. Namun mereka tidak dapat menafikan kenyataan Bhairavi. Sebaliknya, mereka juga bersetuju bahawa Ramakrishna ialah Jelmaan Tuhan seperti Rama dan Krishna.  

Selepas Ramakrishna melalui disiplin Tantra, seorang rahib Vaishnava bernama Jatadhari tiba di Dakshineswar. Jatadhari membawa bersama-samanya sebuah patung kayu Ramlala (Dewa Rama sebagai budak kecil) yang hidup. Sebaik sahaja, Ramakrishna menyedari rahsia Jatadhari, beliau sedar bahawa Jatadhari ialah seorang yang hebat lalu beliau berkawan dengannya. Ramakrishna juga merasakan rasa keibubapaan yang kuat terhadap Ramlala. Perasaan keibubapaan terhadap Tuhan dinamakan sebagai vatsalya bhava dalam sastera Vaishnava. Dalam vatsalya bhava, seseorang melihat Tuhan seperti seorang anak kecil yang perlu dikasihi dan dilindungi! Demikian, selama beberapa bulan Ramakrishna menyayangi Ramlala yang enggan berpisah dengannya. Akhirnya, Jatadhari meninggalkan Dakshineswar selepas memberikan Ramlala kepada Ramakrishna.

Seorang lagi guru yang datang kepada Ramakrishna ialah Totapuri, seorang rahib Advaita Vedantin. Selepas mendapatkan kebenaran Ibu Yang Maha Esa, Ramakrishna mengambil ikrar rahib (Samnyasa) dan memulakan latihan rohani menurut falsafah Advaita (satu mazhab falsafah Vedanta yang popular) di bawah ajaran Totapuri. Sebaik sahaja beliau memulakan latihan, beliau mengalami Nirvikalpa Samadhi dan kekal dalam keadaan itu selama tiga hari berturut-turut. Totapuri amat kagum dengan kejadian ini kerana beliau sendiri telah mengambil masa empat puluh tahun untuk mencapainya!

Semua eksperimen beliau untuk menyedari pelbagai agama dan jalan-jalan rohani berterusan selama dua belas tahun. Akhirnya Ramakrishna mendedahkan bahawa semua agama adalah benar dan membawa kepada pengalaman mistik yang sama. Selepas menjalani latihan-latihan rohani ini, pada tahun 1868, Ramakrishna melakukan lawatan ibadah ke Varanasi, Allahabad dan Vrindavan bersama-sama Mathurnath.

Selepas menjalani latihan-latihan rohani ini, Ramakrishna melakukan lawatan ibadah ke Varanasi dan Vrindavan bersama-sama Mathurnath.

 

Pasangan Hidup

Sementara Ramakrishna menjalani disiplin rohani di Dakshineswar, isterinya, Sarada Devi telah menjadi dewasa. Berita tentang ‘kegilaan’ Ramakrishna telah tersebar ke Jayrambati menyebabkan Sarada risau. Akhirnya, Sarada memutuskan untuk pergi ke Dakshineswar untuk menjaga suaminya yang ‘gila’. Namun, apabila Sarada tiba di Dakshineswar, Ramakrishna menerimanya dengan penuh kasih sayang dan prihatin.

Sama seperti Ramakrishna, Sarada juga tidak berminat dengan kehidupan duniawi. Ramakrishna mula memberikan ajaran rohani kepada Sarada dan melatihnya melakukan kerja-kerja rumah. Oleh kerana, Ramakrishna telah mengambil ikrar Samnyasa, beliau tidak menjalinkan hubungan kelamin dengan isterinya, tetapi melihatnya sama seperti ibunya.

Tidak lama kemudian, pada tahun 1872, pada hari Phalaharini Kali Puja, Ramakrishna memuja Sarada sebagai Dewi Kali dan mempersembahkan semua hasil kehidupan rohaninya kepada Sarada. Peristiwa unik ini amat bermakna dalam sejarah kerohanian manusia. Ia membuktikan bahawa hawa nafsu dapat dihapuskan sepenuhnya dengan sikap melihat semua wanita sebagai ibu. Melalui pemujaan ini juga, Ramakrishna memberikan Sarada semua kuasa-kuasa rohaninya dan membangkitkan sifat keibuan sejagat dalam diri Sarada.

Kedatangan Para Pengikut



Berita bahawa seorang Paramahamsa atau orang alim sedang tinggal di kuil Dakshineswar tersebar secara perlahan-perlahan. Pada mulanya, secara lisan orang mendengar tentangnya daripada orang-orang yang pernah melihatnya. Kemudian, ia menjadi berita sensasi dalam surat khabar dan jurnal yang ditulis oleh Keshab Chandra Sen (A.D. 1838-1884), seorang pemimpin Brahma Samaj yang terkenal. Penulisan Keshab menarik perhatian golongan pemuda Bengal ketika itu dan mereka juga mula melawat Ramakrishna.

Demikian, ramai orang daripada pelbagai strata masyarakat datang kepada Ramakrishna untuk mendengar ajarannya. Ramai dalam kalangan mereka menjadi pengikut-pengikutnya. Beberapa pengikut yang telah berumahtangga ialah Balaram Bose (A.D. 1842-1890), Girish Chandra Ghosh (A.D. 1844-1912), Mahendranath Gupta (A.D.1854-1932), Ramachandra Datta (A.D.1851-1899), Durgacharan Nag (A.D.1846-1899) dan Surendranath Mitra (A.D.1850-1890).

Ramakrishna tahu bahawa matlamat utama hidupnya ialah untuk menghidupkan kembali agama Hindu dan menyelamatkan manusia sejagat. Kebanyakan pergerakan pembaharuan agama Hindu pada ketika itu hanya dapat mempengaruhi sebahagian kecil masyarakat Hindu. Pengaruh budaya kuning dan fahaman Barat telah menular ke dalam masyarakat Hindu, terutamanya golongan yang berpendidikan moden. Agama Hindu yang telah berpecah kepada ratusan fahaman, yang bertentangan antara satu sama lain, yang penuh dengan kepercayaan karut masyarakat menyebabkan ramai golongan yang berpendidikan menolak agama Hindu.

Ramakrishna sebaliknya telah menyedari dengan pengalamannya sendiri bahawa kitab-kitab agama Hindu seperti Upanishad, Agamas, dan Tantra mempunyai intipati agama yang masih sah dan relevan untuk zaman moden. Beliau yakin bahawa agama Hindu dapat dipulihkan dan dibangunkan semula dengan menekankan pada pengalaman rohani yang terus. Untuk ini, beliau memerlukan sekumpulan pemuda yang berbakti dan berkebolehan.

Oleh itu, Ramakrishna melatih beberapa orang pemuda dan mengarahkan mereka untuk mengabdikan hidup mereka demi kebaikan dunia. Selepas kematian Ramakrishna, enam belas orang pemuda ini menjadi rahib dan membentuk Ramakrishna Sangha (Ramakrishna Order) di bawah pimpinan Narendra (Swami Vivekananda).


Hari-hari Terakhir
Latihan-latihan rohani yang luarbiasa, tekanan berterusan akibat mengajar, bercakap, bernyanyi dan menari, akhirnya menjejaskan kesihatan Ramakrishna. Pada tahun A.D.1885, para doktor mengesahkan bahawa Ramakrishna menghidap kanser tekak. Bagi memudahkan rawatan, Ramakrishan dipindahkan ke Syampukur, Calcutta dan kemudiannya ke taman Kasipur.

Meskipun rawatan yang terbaik diberikan, kesihatannya semakin merosot. Ketika itu, tidak ada sebarang ubat untuk penyakit kanser. Narendra dan pemuda-pemuda lain tinggal bersama-sama Ramakrishna dan menjaganya. Sarada Devi mengambil tugas memasak, sementara pengikut-pengikut yang telah berumahtangga pula menguruskan perbelanjaannya.

Meskipun, badannya sakit, Ramakrishna meneruskan dengan latihan rohani pengikut-pengikutnya. Beliau mengikat pengikut-pengikutnya dengan ikatan persaudaraan yang unik, yang berterusan walaupun selepas kematiannya.

Pada 1 Januari 1886, Ramakrishna keluar dari biliknya di Kasipur dan berjalan-jalan di taman. Ramai pengikut-pengikutnya telah berkumpul untuk bertemu dengannya. Ramakrishna merestui semua orang agar mereka berjaya dalam disiplin rohani masing-masing. Seperti terkena sihir, setiap orang mendapat pengalaman mistik yang berlainan, mengikut kecendurungan masing-masing. Sehingga kini, semua pengikut Ramakrishna menyambut peristiwa ini sebagai ‘Hari Kalpataru’ (merujuk kepada pokok Kalpataru iaitu sebatang pokok dalam mitologi India yang dipercayai akan memenuhi semua permintaan).

Ketika berada di Kasipur juga, Ramakrishna mengagihkan dua belas pasang kain jingga rahib dan kalungan rudraksha kepada dua belas orang pengikutnya. Selepas memberikan mereka kain jingga, beliau juga meminta mereka untuk mengemis makanan seperti fakir Hindu tradisional. Apabila mereka membawa makanan yang diperolehi secara sedekah, beliau juga merasakan sedikit makanan itu. Peristiwa ini dianggap sebagai perasmian pertubuhan rahib yang dikenali sebagai Ramakrishna Sangha (gabungan Ramakrishna Math dan Ramakrishna Mission).

Pada suatu hari, Ramakrishna memanggil pengikut setianya, Narendra dan menyerahkan semua kuasa rohaninya. Selepas itu, beliau mengarahkan Narendra untuk menjaga saudara-saudara segurunya dan meneruskan kerja yang diamanatkan kepadanya.

Beberapa hari sebelum kematiannya, dalam keadaan tenat, Ramakrishna mendedahkan kepada Narendra bahawa Dewa Rama dan Dewa Krishna telah lahir semula sebagai Ramakrishna.

Pada 16 Ogos 1886 pada pukul 1.02 pagi, Ramakrishna menyeru nama Devi Kali tiga kali dan meninggalkan jasadnya dalam Mahasamadhi. Pengikut-pengikutnya melaksanakan upacara pembakaran mayatnya di Kasipur. Lama kemudian, sebuah memorial dibina di tempat itu. Abu suci Ramakrishna kini disimpan di kuil Biara Belur ('Belur Math'), di Howrah.