Sri Ramakrishna (18 Februari 1836 – 16 Ogos 1886) ialah
seorang tokoh agama India kurun ke-19 yang terkenal. Pemikiran dan
pengalaman rohani beliau merupakan sumber inspirasi bagi kelahiran
pertubuhan rahib yang dikenali sebagai Ramakrishna Math dan Ramakrishna Mission. Beliau juga digelar sebagai Ramakrishna Paramahamsa, Sri Sri Thakur dan Bhagavan Ramakrishna oleh pengikut-pengikutnya.
Nama sebenar Ramakrishna ialah Gadadhar Chattopadhyaya. Beliau
berasal daripada sebuah keluarga Brahmin yang miskin dari sebuah
perkampungan Bengal. Beliau menjadi seorang sami di kuil Kali
Dakshineswar. Ramakrishna telah menjalani disiplin rohani di bawah
ajaran Bhairavi Brahmani, seorang fakir wanita yang mahir dalam Tantra
dan tradisi Bhakti Vaishnava. Kemudian, beliau juga mempelajari meditasi
ke atas Brahman daripada seorang rahib Advaita Vedanta.
Kelahiran
Sri Ramakrishna telah dilahirkan pada 18 Februari 1836 di Kamarpukur,
sebuah kampung kecil di daerah Hooghly, Bengal Barat yang terletak 112
km dari Calcutta, India. Ibu bapanya, Khudiram Chattopadhyaya dan
Chandramani Devi, sangat miskin tetapi beriman lagi baik hati. Nama asal
Sri Ramakrishna ialah Gadadhar atau secara singkat, Gadai.
Khudiram berasal dari kampung Derepur di Bengal. Oleh sebab dia
enggan untuk memberikan keterangan palsu menurut perintah seorang
zamindar (tuan tanah) kampung itu, dia telah kehilangan tanah pusaka dan
rumahnya. Dengan bergantung kepada Dewa Raghuvir (salah satu nama Dewa
Rama) Khudiram meninggalkan Derepur bersama-sama isterinya dan dua orang
anak lelaki, Ramkumar dan Rameswar.
Apabila Khudiram tiba di Kamarpukur, dia disambut dengan mesra oleh
kawan lamanya Dharmadas Laha. Dia menerima sebidang tanah yang subur dan
sebuah pondok kecil daripada Dharmadas. Penduduk-penduduk Kamarpukur
juga menerima keluarga baru ini dengan gembira dan membekalkan mereka
dengan segala keperluan untuk hidup yang sederhana tetapi bahagia.
Pengorbanan Khudiram untuk berpegang kepada kebenaran tentu telah
menarik perhatian Takdir. Ya, Khudiram inilah yang ditakdirkan untuk
menjadi bapa Ramakrishna.Salah satu ajaran Ramakrishna ialah bahawa
“Kebenaran adalah tunjang agama dalam Kaliyuga”.
Zaman Kanak-kanak
Tidak lama selepas berpindah ke Kamarpukur, Khudiram melakukan satu
lawatan ibadah ke kuil Vishnu (dikenali sebagai Gadadhara) di Gaya (di
Bihar) pada tahun 1835 Masihi. Selepas melakukan upacara pemujaan, dia
mendapat satu mimpi yang pelik. Dewa Gadadhar muncul dan berkata bahawa
Dia akan lahir sebagai anak Khudiram! Hampir pada masa yang sama,
Chandra Devi pula melihat satu cahaya dari kuil Shiva menembusi badannya
lalu dia jatuh pengsan. Apabila dia menyedar diri, dia merasakan
dirinya hamil. Apabila Khudiram pulang ke rumah, dia mendengar tentang
pengalaman Chandra Devi dan berasa yakin bahawa sesuatu kejadian yang
pelik akan berlaku. Kejadian ini diikuti dengan perubahan yang luarbiasa
pada diri Chandra Devi. Dia mula melihat semua orang termasuk dewa-dewi
sebagai anaknya sendiri.
Pada 18 Februari 1836 pada pukul 5.15 pagi, Chandra melahirkan
seorang anak lelaki. Mereka menamanya ‘Gadadhar’ kerana sesungguhnya dia
ialah penjelmaan semula Dewa Gadadhar-Vishnu. Sejak lahir, Gadadhar
menunjukkan ketuhanannya dengan pelbagai kejadian luarbiasa. Semua orang
kampung meraikan kelahirannya dan merasakan bahawa dia ialah saudara
mereka sendiri.
Pendidikan awal Gadadhar bermula di sebuah sekolah pondok di mana dia mempelajari Bahasa Bengali.
Namun, dia enggan untuk meneruskan dengan pendidikan formal yang
dipanggilnya sebagai “ilmu untuk mengisi perut”. Sebaliknya, dia
menunjukan bakat dan minatnya dalam mengukir patung, lukisan, lakonan
drama dan nyanyian lagu-lagu suci. Dia juga berkawan rapat dengan
golongan fakir dan rahib yang sering berehat di Kamarpukur, yang menjadi
hentian dalam laluan ke kuil Jagannath, Puri. Ramakrishna menguasai
kitab-kitab seperti Purana, Ramayana, Mahabharata dan Bhagavata Purana dengan mendengarnya daripada golongan fakir dan penyanyi-penyanyi Kathak (kumpulan yang menyanyikan Purana).
Gadadhar mengalami keghairahan mistik yang pertama ketika berusia
enam tahun. Ketika dia sedang berjalan melalui tapak sawah padi sambil
mengunyah emping beras, dia terpandang sekawan burung putih berterbang
di bawah awan yang gelap. Pandangan itu membuatnya melupakan
segala-galanya dan merasakan kegembiraan yang tidak terkata. Kejadian
yang serupa berlaku beberapa kali dalam zaman kanak-kanaknya. Sekali,
ketika dalam perjalanan ke kuil Dewi Vishalakshi dan semasa dia
melakonkan watak Dewa Shiva dalam satu drama.
Pada tahun 1843, bapa Gadadhar meninggal dunia. Abang sulungnya,
Ramkumar menjadi ketua keluarga dan penjaganya. Gadadhar yang berusia
enam tahun, mula menghabiskan masa bersama-sama ibunya dengan membantu
dalam kerja rumah. Dia juga menghiburkan wanita-wanita di kejiranannya
dengan membacakan kitab-kitab suci.
Sifat Gadadhar berpegang kepada kebenaran terserlah ketika dia
berumur sembilan tahun. Ramkumar dan ibunya sibuk membuat persediaan
untuk upacara Upanayana apabila Gadadhar mendedahkan hasratnya untuk
meminta sedekah pertama daripada Dhani. Menurut trasidi, seorang Brahmin
hanya boleh meminta sedekah semasa upacara Upanayana daripada seorang
yang sama kasta dengannya. Namun, Gadadhar telah berjanji kepada Dhani
daripad kasta tukang besi. Walaupun dibantah oleh keluarganya, Gadadhar
enggan untuk mungkir janji kerana menurutnya kebenaran adalah sifat
utama bagi seorang Brahmin.
Pada tahun 1852, Ramkumar membawa Gadadhar yang berusia enam belas
tahun ke Calcutta. Gadadhar membantu Ramkumar melakukan upacara pemujaan
di rumah-rumah persendirian. Walaupun sedih untuk berpisah dengan ibu
dan kampungnya, Gadadhar berasa gembira untuk meringankan beban
abangnya.
Kuil Kali, Dakshineswar
Rani Rasmani (A.D.1793-1861), seorang wanita kaya di Janbazar,
Calcutta memutuskan untuk melakukan ibadah di Varanasi. Namun, beliau
terpaksa membatalkan rancangannya apabila Dewi Kali,
Ibu Yang Maha Esa muncul dalam mimpinya dan mengarahkannya untuk
membina sebuah kuil untuk-Nya di tebing sungai Ganges. Rani mula membina
sebuah kuil yang besar di Dakshineswar. Namun, oleh kerana Rani Rasmani
berasal daripada kasta nelayan, sami-sami Brahmin enggan untuk
melakukan pemujaan di kuil itu. Rani dalam keadaan terdesak, menghantar
utusan kepada ramai pendeta-pendeta untuk meminta nasihat. Semua
pendeta, dengan sebulat suara mengatakan bahawa orang Brahmin tidak
boleh bekerja di kuil yang dibina oleh orang kasta rendah.
Apabila Ramkumar menerima surat Rani Rasmani, dia menasihatkannya
untuk mendaftarkan hakmilik kuil itu di atas nama seorang Brahmin dan
Rani bertindak hanya sebagai wakil. Gembira dengan nasihat Ramkumar,
Rani mendaftarkan hakmilik kuil itu atas nama gurunya. Kemudian, dia
meminta Ramkumar sendiri untuk menjalankan upacara perasmian kuil itu
dan seterusnya melantiknya sebagai ketua sami.
![]() |
Kamar Sri Ramakrishna di Dakshineswar |
Sadhana
Setahun kemudian, Ramkumar meninggal dunia secara tiba-tiba. Walaupun
terkejut dengan kematian abangnya, Ramakrishna bersetuju untuk
mengambil alih tugas abangnya sebagai sami kuil Kali. Pada mulanya,
Ramakrishna melakukan upacara pemujaan harian yang teratur mengikut
tradisi. Namun, tidak lama kemudian, suatu keinginan menguasai
fikirannya. Belia mahu mengetahui sama ada Dewi benar-benar wujud dalam
berhala dan menerima pemujaan yang dilakukan.
Setahun kemudian, Ramkumar meninggal dunia secara tiba-tiba. Walaupun
terkejut dengan kematian abangnya, Ramakrishna bersetuju untuk
mengambil alih tugas abangnya sebagai sami kuil Kali. Pada mulanya,
Ramakrishna melakukan upacara pemujaan harian yang teratur mengikut
tradisi. Namun, tidak lama kemudian, suatu keinginan menguasai
fikirannya. Belia mahu mengetahui sama ada Dewi benar-benar wujud dalam
berhala dan menerima pemujaan yang dilakukan.
Selama beberapa bulan, Ramakrishna melakukan pelbagai disiplin rohani
yang rumit lagi luarbiasa. Setiap hari, kerinduannya untuk melihat
Tuhan yang dipanggilnya sebagai ‘Ibu’ makin bertambah. Siang dan malam,
hatinya memikirkan ‘Ibu’ sehingga makan, minum dan tidur dilupakannya.
Apabila ‘Ibu’ enggan untuk mendengar tangisannya, beliau memutuskan
untuk menamatkan hidupnya dengan pedang Kali yang disimpan di kuil.
Dengan serta-merta, beliau diberkati dengan pandangan mistik Dewi Kali
dan beliau sedar bahawa manusia boleh menyedari kewujudan Tuhan.
Selepas kejadian ini, Sri Ramakrishna mula merasakan kewujudan Tuhan
setiap masa. Beliau bukan sahaja melihat Tuhan tetapi juga bercakap
dengan-Nya secara intim. Beliau tidak lagi dapat menjalankan upacara
sembahyang dan pemujaan secara teratur.
Perkahwinan
Keadaan yang dialami oleh Ramakrishna sesungguhnya sukar dipercayai
menyebabkan saudara-maranya khuatir bahawa Ramakrishna telah menjadi
tidak siuman.
Oleh itu, bagi menyembuhkan Ramakrishna daripada kegilaannya, Chandra
Devi dan abangnya Rameswar mendesaknya untuk kembali ke Kamarpukur.
Bagi menenangkan hati ibunya, Ramakrishna mendapatkan rawatan
tradisional dan berkelakukan normal. Malah, apabila dia mendapat tahu
bahawa keluarganya sedang mencari jodoh untuknya, beliau mencadangakan
kepada mereka untuk mencari jodohnya di rumah Ramchandra Mukhyopadhyaya
di Jayrambati (sebuah kampung berdekatan Kamarpukur). Ramchandra
mempunyai seorang anak perempuan bernama Sri Sarada Devi.
Selepas kedua-dua pihak bersetuju, perkahwinan Ramakrishna, yang
berumur dua puluh tiga tahun dilangsungkan dengan Sri Sarada Devi yang
berumur lima tahun. Selepas perkahwinan ini, Ramakrishna kembali ke
Dakshineswar untuk meneruskan kerjanya sebagai sami. Sarada pula kembali
ke rumah bapanya di Jayrambati.
Pelbagai Jalan yang Berlainan
Selepas kembali ke Dakshineswar, Ramakrishna sekali lagi memulakan
disiplin rohaninya. Walaupun, beliau telahpun menyedari Kebenaran dengan
usahanya sendiri, beliau teringin untuk mendapatkan bantuan guru untuk
mencapai matlamat yang sama. Peliknya, beliau tidak perlu mencari
gurunya di mana-mana. Guru-gurunya sendiri datang kepadanya, seorang
demi seorang!
Guru pertama Ramakrishna ialah seorang rahib wanita yang dikenali
sebagai Bhairavi Brahmani (nama asalnya ialah Yogeswari). Sebaik sahaja
melihat Ramakrishna, Bhairavi meluahkan hasratnya untuk mengajarnya
kerana itu ialah kehendak Ibu Yang Maha Esa. Di bawah tunjuk ajar
Bhairavi, Ramakrishna melakukan disiplin Tantra yang rumit dan berjaya.
Bhairavi menjadi kagum dengan perkembangan rohani yang telah dicapai
oleh Ramakrishna dalam masa yang singkat.
Bhairavi yang arif dalam sastera agama mendapati bahawa tanda-tanda
yang dilihatnya pada Ramakrishna hanya pernah berlaku dalam hidup
Jelmaan Tuhan seperti Sri Krishna Chaitanya Mahaprabhu dan Srimati Radha. Oleh itu, dia mengisytiharkan bahawa Ramakrishna juga ialah seorang Jelmaan Tuhan atau Avatar! Dia juga mencabar para pendeta untuk menafikannya dalam satu persidangan.
Mathurnath menjemput ramai golongan pendeta untuk menguji Ramakrishna
dan menafikan kenyataan Bhairavi. Pendeta-pendeta yang berpelajaran
dalam Veda dan Purana seperti Vaishnavcharan, Gauri Pandit, Padmalochan
dan Narayana Shastri datang untuk menguji Ramakrishna. Namun mereka
tidak dapat menafikan kenyataan Bhairavi. Sebaliknya, mereka juga
bersetuju bahawa Ramakrishna ialah Jelmaan Tuhan seperti Rama dan
Krishna.
Selepas Ramakrishna melalui disiplin Tantra,
seorang rahib Vaishnava bernama Jatadhari tiba di Dakshineswar.
Jatadhari membawa bersama-samanya sebuah patung kayu Ramlala (Dewa Rama
sebagai budak kecil) yang hidup. Sebaik sahaja, Ramakrishna menyedari
rahsia Jatadhari, beliau sedar bahawa Jatadhari ialah seorang yang hebat
lalu beliau berkawan dengannya. Ramakrishna juga merasakan rasa
keibubapaan yang kuat terhadap Ramlala. Perasaan keibubapaan terhadap
Tuhan dinamakan sebagai vatsalya bhava dalam sastera Vaishnava. Dalam
vatsalya bhava, seseorang melihat Tuhan seperti seorang anak kecil yang
perlu dikasihi dan dilindungi! Demikian, selama beberapa bulan
Ramakrishna menyayangi Ramlala yang enggan berpisah dengannya. Akhirnya,
Jatadhari meninggalkan Dakshineswar selepas memberikan Ramlala kepada
Ramakrishna.
Seorang lagi guru yang datang kepada Ramakrishna ialah Totapuri, seorang rahib Advaita
Vedantin. Selepas mendapatkan kebenaran Ibu Yang Maha Esa, Ramakrishna
mengambil ikrar rahib (Samnyasa) dan memulakan latihan rohani menurut
falsafah Advaita (satu mazhab falsafah Vedanta yang popular) di bawah ajaran Totapuri. Sebaik sahaja beliau memulakan latihan, beliau mengalami Nirvikalpa Samadhi
dan kekal dalam keadaan itu selama tiga hari berturut-turut. Totapuri
amat kagum dengan kejadian ini kerana beliau sendiri telah mengambil
masa empat puluh tahun untuk mencapainya!
Semua eksperimen beliau untuk menyedari pelbagai agama dan
jalan-jalan rohani berterusan selama dua belas tahun. Akhirnya
Ramakrishna mendedahkan bahawa semua agama adalah benar dan membawa
kepada pengalaman mistik yang sama. Selepas menjalani latihan-latihan
rohani ini, pada tahun 1868, Ramakrishna melakukan lawatan ibadah ke
Varanasi, Allahabad dan Vrindavan bersama-sama Mathurnath.
Selepas menjalani latihan-latihan rohani ini, Ramakrishna melakukan lawatan ibadah ke Varanasi dan Vrindavan bersama-sama Mathurnath.
Pasangan Hidup
Sementara Ramakrishna menjalani disiplin rohani di Dakshineswar,
isterinya, Sarada Devi telah menjadi dewasa. Berita tentang ‘kegilaan’
Ramakrishna telah tersebar ke Jayrambati menyebabkan Sarada risau.
Akhirnya, Sarada memutuskan untuk pergi ke Dakshineswar untuk menjaga
suaminya yang ‘gila’. Namun, apabila Sarada tiba di Dakshineswar,
Ramakrishna menerimanya dengan penuh kasih sayang dan prihatin.
Sama seperti Ramakrishna, Sarada juga tidak berminat dengan kehidupan
duniawi. Ramakrishna mula memberikan ajaran rohani kepada Sarada dan
melatihnya melakukan kerja-kerja rumah. Oleh kerana, Ramakrishna telah
mengambil ikrar Samnyasa, beliau tidak menjalinkan hubungan kelamin
dengan isterinya, tetapi melihatnya sama seperti ibunya.
Tidak lama kemudian, pada tahun 1872, pada hari Phalaharini Kali
Puja, Ramakrishna memuja Sarada sebagai Dewi Kali dan mempersembahkan
semua hasil kehidupan rohaninya kepada Sarada. Peristiwa unik ini amat
bermakna dalam sejarah kerohanian manusia. Ia membuktikan bahawa hawa
nafsu dapat dihapuskan sepenuhnya dengan sikap melihat semua wanita
sebagai ibu. Melalui pemujaan ini juga, Ramakrishna memberikan Sarada
semua kuasa-kuasa rohaninya dan membangkitkan sifat keibuan sejagat
dalam diri Sarada.
Kedatangan Para Pengikut
Berita bahawa seorang Paramahamsa atau orang alim sedang tinggal di kuil Dakshineswar tersebar secara perlahan-perlahan. Pada mulanya, secara lisan orang mendengar tentangnya daripada orang-orang yang pernah melihatnya. Kemudian, ia menjadi berita sensasi dalam surat khabar dan jurnal yang ditulis oleh Keshab Chandra Sen (A.D. 1838-1884), seorang pemimpin Brahma Samaj yang terkenal. Penulisan Keshab menarik perhatian golongan pemuda Bengal ketika itu dan mereka juga mula melawat Ramakrishna.
Demikian, ramai orang daripada pelbagai strata masyarakat datang kepada Ramakrishna untuk mendengar ajarannya. Ramai dalam kalangan mereka menjadi pengikut-pengikutnya. Beberapa pengikut yang telah berumahtangga ialah Balaram Bose (A.D. 1842-1890), Girish Chandra Ghosh (A.D. 1844-1912), Mahendranath Gupta (A.D.1854-1932), Ramachandra Datta (A.D.1851-1899), Durgacharan Nag (A.D.1846-1899) dan Surendranath Mitra (A.D.1850-1890).
Ramakrishna tahu bahawa matlamat utama hidupnya ialah untuk menghidupkan kembali agama Hindu dan menyelamatkan manusia sejagat. Kebanyakan pergerakan pembaharuan agama Hindu pada ketika itu hanya dapat mempengaruhi sebahagian kecil masyarakat Hindu. Pengaruh budaya kuning dan fahaman Barat telah menular ke dalam masyarakat Hindu, terutamanya golongan yang berpendidikan moden. Agama Hindu yang telah berpecah kepada ratusan fahaman, yang bertentangan antara satu sama lain, yang penuh dengan kepercayaan karut masyarakat menyebabkan ramai golongan yang berpendidikan menolak agama Hindu.
Ramakrishna sebaliknya telah menyedari dengan pengalamannya sendiri bahawa kitab-kitab agama Hindu seperti Upanishad, Agamas, dan Tantra mempunyai intipati agama yang masih sah dan relevan untuk zaman moden. Beliau yakin bahawa agama Hindu dapat dipulihkan dan dibangunkan semula dengan menekankan pada pengalaman rohani yang terus. Untuk ini, beliau memerlukan sekumpulan pemuda yang berbakti dan berkebolehan.
Oleh itu, Ramakrishna melatih beberapa orang pemuda dan mengarahkan mereka untuk mengabdikan hidup mereka demi kebaikan dunia. Selepas kematian Ramakrishna, enam belas orang pemuda ini menjadi rahib dan membentuk Ramakrishna Sangha (Ramakrishna Order) di bawah pimpinan Narendra (Swami Vivekananda).
Hari-hari Terakhir
Latihan-latihan rohani yang luarbiasa, tekanan berterusan akibat mengajar, bercakap, bernyanyi dan menari, akhirnya menjejaskan kesihatan Ramakrishna. Pada tahun A.D.1885, para doktor mengesahkan bahawa Ramakrishna menghidap kanser tekak. Bagi memudahkan rawatan, Ramakrishan dipindahkan ke Syampukur, Calcutta dan kemudiannya ke taman Kasipur.
Meskipun rawatan yang terbaik diberikan, kesihatannya semakin merosot. Ketika itu, tidak ada sebarang ubat untuk penyakit kanser. Narendra dan pemuda-pemuda lain tinggal bersama-sama Ramakrishna dan menjaganya. Sarada Devi mengambil tugas memasak, sementara pengikut-pengikut yang telah berumahtangga pula menguruskan perbelanjaannya.
Meskipun, badannya sakit, Ramakrishna meneruskan dengan latihan rohani pengikut-pengikutnya. Beliau mengikat pengikut-pengikutnya dengan ikatan persaudaraan yang unik, yang berterusan walaupun selepas kematiannya.
Pada 1 Januari 1886, Ramakrishna keluar dari biliknya di Kasipur dan berjalan-jalan di taman. Ramai pengikut-pengikutnya telah berkumpul untuk bertemu dengannya. Ramakrishna merestui semua orang agar mereka berjaya dalam disiplin rohani masing-masing. Seperti terkena sihir, setiap orang mendapat pengalaman mistik yang berlainan, mengikut kecendurungan masing-masing. Sehingga kini, semua pengikut Ramakrishna menyambut peristiwa ini sebagai ‘Hari Kalpataru’ (merujuk kepada pokok Kalpataru iaitu sebatang pokok dalam mitologi India yang dipercayai akan memenuhi semua permintaan).
Ketika berada di Kasipur juga, Ramakrishna mengagihkan dua belas pasang kain jingga rahib dan kalungan rudraksha kepada dua belas orang pengikutnya. Selepas memberikan mereka kain jingga, beliau juga meminta mereka untuk mengemis makanan seperti fakir Hindu tradisional. Apabila mereka membawa makanan yang diperolehi secara sedekah, beliau juga merasakan sedikit makanan itu. Peristiwa ini dianggap sebagai perasmian pertubuhan rahib yang dikenali sebagai Ramakrishna Sangha (gabungan Ramakrishna Math dan Ramakrishna Mission).
Pada suatu hari, Ramakrishna memanggil pengikut setianya, Narendra dan menyerahkan semua kuasa rohaninya. Selepas itu, beliau mengarahkan Narendra untuk menjaga saudara-saudara segurunya dan meneruskan kerja yang diamanatkan kepadanya.
Beberapa hari sebelum kematiannya, dalam keadaan tenat, Ramakrishna mendedahkan kepada Narendra bahawa Dewa Rama dan Dewa Krishna telah lahir semula sebagai Ramakrishna.
Pada 16 Ogos 1886 pada pukul 1.02 pagi, Ramakrishna menyeru nama Devi Kali tiga kali dan meninggalkan jasadnya dalam Mahasamadhi. Pengikut-pengikutnya melaksanakan upacara pembakaran mayatnya di Kasipur. Lama kemudian, sebuah memorial dibina di tempat itu. Abu suci Ramakrishna kini disimpan di kuil Biara Belur ('Belur Math'), di Howrah.
No comments:
Post a Comment