Tuesday 9 December 2014

Falsafah Ramakrishna

Ramakrishna tidak mengutarakan sebarang sistem falsafahnya sendiri. Beliau hanya mendedahkan pengalamannya sendiri yang memberikan nafas baharu kepada falsafah Vedanta. [1]

 

Brahman

Seperti Sankara, Ramakrishna juga menerima Brahman sebagai realiti yang tertinggi dan mutlak. Beliau juga bersetuju bahawa Brahman yang Mutlak adalah nirguna dan nirakara. Sebaliknya, beliau tidak bersetuju bahawa Tuhan (Isvara) iaitu aspek Brahman yang berupa (sakara) dan bersifat (saguna) sebagai ilusi atau realiti yang lebih rendah. Sri Ramakrishna menyatakan bahawa Tuhan mempunyai rupa dan Tuhan juga tidak berupa. Bukan itu sahaja, Tuhan juga mengatasi kedua-dua keadaan ini!

“Tuhan tidak ada rupa dan Tuhan juga mempunyai rupa. Tuhan juga merentasi rupa dan ketakrupaan.” (Sayings of Sri Ramakrishna, 871)

Ramakrishna menamakan yang Mutlak sebagai Brahman dalam aspek abadi-Nya (Nitya) iaitu apabila Ia tidak aktif. Apabila Ia bertindak (lila) iaitu melakukan aktiviti ciptaan, pemeliharaan dan pemusnahan, Ia dipanggil sebagai Sakti atau Kali. Ramakrishna juga menyamakan Sakti dengan Isvara atau Tuhan. Oleh itu, Brahman dan Sakti sebenarnya adalah satu dan tidak boleh dipisahkan.

“Tidak ada perbezaan sebenar antara Brahman dan Sakti. Brahman dan Sakti adalah satu (Abhinna), sama seperti api dan kuasa pembakarannya. Brahman dan Sakti adalah sama seperti susu dan keputihan susu. Brahman dan Sakti adalah sama seperti permata dan kilauannya. Kamu tidak boleh menggambarkan satu tanpa yang lain atau membezakannya.” (ibid, 857.)

“Tuhan Yang Maha Mutlak dan Tuhan dengan Peribadi adalah satu. Kepercayaan kepada satu juga bermaksud kepercayaan kepada yang lain. Api tidak boleh digambarkan berlainan dari kuasa pembakarannya. Kuasa pembakarannya tidak boleh dibezakan dari api dan sebaliknya. Cahaya matahari tidak boleh difikirkan tanpa matahari, atau matahari tidak boleh difikirkan tanpa cahayanya. Kamu tidak boleh memikirkan tentang keputihan susu tanpa susu. Demikian, Yang Maha Mutlak tidak boleh difikirkan tanpa idea tentang Tuhan yang bersifat iaitu Tuhan yang Peribadi dan sebaliknya.” (ibid, 856.)

 

Tuhan atau Isvara

Dalam falsafah Advaita Sankara, Brahman tidak mengendahkan doa atau perasaan manusia. Sankara juga menganggap Isvara sebagai ilusi. Sebaliknya menurut Ramakrishna, Isvara ialah Brahman dalam aspek Lila. Oleh itu, Isvara adalah benar. Pendekatan ini memberikan Bhakti satu kedudukan yang sah sebagai satu disiplin rohani. Dalam tradisi Advaita, Bhakti tidak diberikan kepentingan. Sebaliknya, Sri Ramakrishna memberikan Bhakti kedudukan yang sama taraf dengan Jnana dengan meluaskan skop Advaita.

Sri Ramakrishna mengakui aspek Lila dan oleh itu beliau juga menerima konsep Avatara atau Jelmaan Tuhan dalam Bhagavad Gita. Tuhan adalah Maha Berkuasa, maka Tuhan boleh melakukan apa-apa sahaja. Tiada sesiapapun yang dapat menyekat kuasa Tuhan. Jika mahu, Tuhan boleh lahir dalam rupa manusia dan hidup sebagai manusia. Demi kebaikan dunia, Tuhan menjelma sebagai manusia. Ramakrishna juga menegaskan bahawa Avatara ialah sama dengan Tuhan. Jika manusia melihat seorang Avatara, ianya sama seperti melihat Tuhan!

 

Maya

Ramakrishna menerima maya sebagai tirai yang menyelindungi Tuhan dari pandangan kita. Beliau menyamakan maya dengan awan kecil yang menutup matahari yang besar. Ramakrishna juga berpendapat seperti ahli-ahli Sankhya bahawa sebaik sahaja maya dikenalpasti, ia melarikan diri. Beliau juga menerima bahawa maya mempunyai dua aspek iaitu avidya maya dan vidya maya. Vidya maya membantu jiwa mencapai kebebasan. Avidya maya menyebabkan jiwa dibelenggu dengan nafsu syahwat, ketamakan dan keegoan.

Seseorang harus menggunakan Vidya maya untuk melepaskan diri daripada belenggu avidya maya. Duri digunakan untuk membuang duri lain, dan selepas itu, kedua-dua duri dibuang. Begitu juga, Vidya digunakan untuk menyingkirkan avidya dan selepas itu, Vidya maya juga dibuang.

Dalam kalangan mazhab-mazhab tradisional, wujud percanggahan mengenai lokus maya. Ramakrishna menyelesaikan masalah ini dengan menyatakan bahawa maya wujud dalam Brahman tetapi ia bertindak ke atas jiwa. Ini sama seperti bisa ular yang berada dalam mulut ular. Bisa tidak meracuni ular tetapi ia bertindak ke atas orang yang dipatuk ular. Demikian, Ramakrishna menunjukkan bahawa Brahman tidak dijejaskan oleh maya.

 

Ciptaan

Ramakrishna memberikan maksud yang mendalam bagi ciptaan berbanding Sankara. Menurutnya, ciptaan ialah aspek lila atau permainan Brahman dan oleh itu, ia benar-benar wujud. Seperti bongkah ais yang terbentuk dalam kolam dan akhirnya mencair. Walaupun bongkah ais wujud tetapi ia tidak tetap.

Pada mulanya, seorang jnani menafikan kewujudan dunia. Selepas mendapat kesedaran Brahman dan menjadi seorang ‘vijnani’ iaitu ilmu yang agung, dia menerima bahawa dunia juga ialah Brahman kerana tiada apa-apa yang wujud selain Brahman. Teori ini meluaskan pemikiran kita untuk memahami perbuatan seorang jivanmukta (orang yang telah bebas). Seorang jivanmukta meneruskan kerja-kerjanya demi kebaikan dunia kerana dia melihat bahawa dunia juga ialah Brahman.

 

Jiwa

Ramakrishna mengakui bahawa jiwa manusia ialah Tuhan. “Jiwa yang terikat ialah manusia. Apabila ia mencapai kebebasan daripada belenggu Maya, jiwa ialah Tuhan.”

'Apakah perhubungan antara Jivatman dan Paramatman? Air kelihatan terbahagi dua apabila sesuatu papan kayu diletak untuk menghalang alirannya. Begitu juga, Maha Sempurna, kelihatan terbahagi dua, sebagai Jivatman dan Paramatman disebabkan halangan Maya.'

'Air dan buih di atasnya ialah satu. Buih terbentuk di atas air, terapung di atasnya, dan akhirnya ia lenyap dalam air. Begitu juga Jivatman dan Paramatman adalah satu yang sama. Hanya perbezaan tahap yang wujud antara mereka kerana satu adalah terhad dan terikat dan satu lagi tidak terhad dan bebas.'

 

Penyebab Belenggu

Apakah yang menyebabkan jiwa dibelenggui? Menurut Ramakrishna, ia disebabkan oleh ego akibat Avidya-Maya. Kalau kita terus mengupas bawang, akhirnya, tiada apa yang tinggal. Begitu juga, kalau kita meneliti ‘Aku’ dengan mendalam, akhirnya kita akan mendapati bahawa sebenarnya ia tidak wujud. Tambahan lagi, bukannya mudah untuk melepaskan diri daripada keegoan! Jadi, macam mana kita boleh menyingkirkan ego? Ramakrishna mengelaskan ego kepada dua jenis : ego yang masak dan ego yang belum masak. ‘Jika kamu tidak dapat menyingkirkan perasaan ‘Aku’, biarlah ia tinggal sebagai “Aku orang gaji.” Perasaan “Aku orang gaji Tuhan, aku pemuja-Nya” tidak membawa bahaya.

Beliau juga menjelaskan bahawa jiwa yang bebas terus berada di dunia ini demi mengajar manusia meskipun mereka tidak ada ego. ‘Apabila seutas tali dibakar, abunya kekal dalam bentuk tali. Namun, ia tidak boleh mengikat lagi. Begitu juga, ego yang telah hangus dalam api Ilmu Yang Agung, tidak dapat mengikat jiwa.’

 

Empat Jenis Jiwa

Meskipun Ramakrishna mengakui bahawa semua jiwa ialah setaraf, namun beliau mengelaskannya kepada empat kumpulan: Baddha (terikat), Mumukshu (cuba untuk bebas), Mukta (terbebas) dan Nitya-Siddha (sentiasa bebas). Jiwa yang sentiasa bebas atau golongan Nitya-Siddha lahir demi mengajar manusia. Jenis yang terikat pula langsung tidak memikirkan tentang kerohanian kerana asyik dengan kehidupan duniawi. Kumpulan kedua perlu diberi perhatian kerana mereka sedang berusaha untuk bebas.

 

Matlamat Hidup

Menurut Ramakrishna, matlamat hidup adalah untuk menyedari Tuhan. Semua masalah kita, semua penderitaan akan berakhir, apabila kita menyedari Tuhan. Sri Ramakrishna mengikuti jejak tradisi dan menasihatkan bahawa dengan mendapatkan seorang guru rohani yang mahir dan mengamalkan disiplin rohani menurut ajarannya, seseorang boleh bebas.

Ajaran Ramakrishna tidak dogmatik tentang amalan yang diikuti oleh seseorang. Seperti jalan-jalan berlainan yang menuju ke suatu destinasi, begitu juga, Tuhan boleh dicapai dengan pelbagai jalan atau disiplin rohani. Jnana, Bhakti, Yoga dan Karma, kesemuanya ada dalam ajaran beliau. Seseorang boleh mengamalkan satu atau beberapa disiplin rohani ini. Apa yang penting ialah Vyakulata, kedahagaan kuat dan mendalam untuk mencapai matlamat. Pendekatan Ramakrishna merangkumi, bukan sahaja pelbagai disiplin rohani agama Hindu, tetapi juga agama-agama lain. Malah beliau juga mengakui beberapa amalan keji Tantra sebagai ‘pintu belakang’, meskipun beliau tidak mengajar atau menyarankannya.

 

Jnana dan Bhakti

Dalam mazhab-mazhab tradisional, sering wujud persengketaan pendapat antara Jnana dan Bhakti sebagai satu-satunya jalan kebebasan. Sri Ramakrishna menyelesaikan persengketaan ini dengan mengajar Bhakti yang mengandungi Jnana (Jnana Misrita Bhakti) sebagai jalan yang paling sesuai untuk zaman Kali. Pendekatan ini mengelakkan seseorang menjadi fanatik dan menjadi terlalu hambar atau beremosi.


Kehidupan Selepas Kesedaran Tuhan
Apakah yang berlaku kepada orang yang menyedari Tuhan? Ramakrishna mengesahkan sastera agama dan mengajar bahawa orang yang menyedari Tuhan menikmati kebahagiaan yang tidak terputus dan melihat Tuhan dalam segala-galanya. Dia mungkin tidak akan menunjuk sebarang tanda tentang keadaannya dan mungkin berkelakukan ganjil untuk mengelakkan orang lain. Dia juga tidak terjejas dengan suka duka kehidupan dan sentiasa tenang dalam semua situasi. Hidupnya bertumpu pada Tuhan dan dia bertindak hanya demi kebaikan dunia.

Mengenai Prarabdha Karma (hasil tindakan dalam kelahiran lepas yang memberi berkesan dalam kelahiran semasa) Ramakrishna berkata bahawa ia seperti anak panah yang telah dilepaskan dari busur. Ia pasti akan membawa padahnya dan tidak boleh dielakkan. Namun, dengan kuasa nama Tuhan, sebahagian besar kesannya boleh dikurangkan. (Teachings of Sri Ramakrishna, 913)  

 

Kebaikan dan Kejahatan

Soal kebaikan dan kejahatan merupakan satu masalah yang sering dibincangkan dalam hampir semua sistem falsafah. Ramakrishna mengatakan bahawa ciptaan tidak boleh berlaku tanpa kecacatan atau kekurangan. Emas tulen tidak boleh dijadikan cincin atau rantai. Emas mesti dicampurkan dengan logam lain untuk memberinya sesuatu bentuk. Demikian, dunia tidak boleh wujud tanpa Maya. Kebaikan dan kejahatan perlu wujud agar ciptaan dapat diteruskan. Namun, kejahatan boleh diatasi dengan menambahkan kebaikan. Namun, matlamat hidup ialah untuk mengatasi kedua-dua kebaikan dan kejahatan dan mencapai Tuhan. Apabila seseorang mencapai Tuhan, dia akan melihat baik dan buruk dengan sama rata.

 

Penyebab Percanggahan 

Mengapakah wujud percanggahan dan perselisihan faham antara pelbagai agama dan mazhab berlainan? Ramakrishna memberikan dua penjelasan iaitu yang objektif dan subjektif. Secara subjektif, Ramakrishna memberikan contoh sebuah cerita popular tentang beberapa orang buta dan seekor gajah. Menurut beliau, percanggahan pendapat wujud kerana masing-masing hendak membuktikan bahawa pendapatnya sahaja ialah betul dan semua orang lain yang bercanggah dengannya salah. Secara objektif pula, Ramakrishna mengatakan bahawa Tuhan Maha Mulia dan tiada sesiapa pun yang dapat menggambarkan kemuliaanya. Hanya Tuhan sahaja yang tahu tentang kemuliaan-Nya. Brahman merupakan satu-satunya yang tidak pernah dicemari atau dapat diceritakan oleh manusia. Usaha manusia untuk memahami dan menjelaskan Tuhan ialah sama seperti usaha sebuah patung garam yang ingin mengukur kedalaman laut. Oleh itu, apabila manusia yang telah menyedari Tuhan ingin untuk menjelaskan tentang pengalamannya, dia tidak menjelaskan pengalamannya dengan betul dan kemungkinan pengalamannya bercanggah dengan pengalaman orang lain.

No comments:

Post a Comment